Cara Menasihati Rakan-Supaya Hubungan Tidak Retak.
Perkongsian kali ini adalah cara mudah untuk menasihati rakan tanpa menyakiti perasaannya.
Niat kita dah betul menegur demi kebaikan, tapi adakalanya kita takut teguran dan nasihat kita itu disalah ertikan dan akhirnya menjadi punca hubungan persahabatan retak.
Bab menegur orang ini adalah hal yang paling susah sekali, lebih-lebih lagi dengan orang yang kita rapat dan sayangi. Kita bukannya apa, takut teguran kita itu tidak dapat diterima dan membuatnya terasa.
Jesteru itu, mahu menegur dan menasihati rakan perlu ada caranya. Jom ketahui cara menasihati rakan dengan cara teguran Islam.
Bagaimana cara menasihati sahabat dengan berkesan ?
1. Betulkan niat terlebih dahulu
Apabila terdetik hati kita untuk menegur kawan pertama sekali betulkan niat dahulu. Supaya kita tidak terdorong untuk melampiaskan amarah ataupun rasa tidak puas hati atas sikapnya.
Sesungguhnya, niat yang murni dan hati yang ikhlas memberi teguran akan lebih mudah diterima.
Jika dibandingkan dengan niat kita memberi nasihat dengan tujuan lain, bukannya tujuan untuk membetulkan kesilapan tapi sebaliknya.
2. Memberi teguran yang santun tapi tegas
Cara yang seterusnya ialah gunakan konsep 2in1 iaitu tegas dalam santun. Gunakan budi bahasa yang baik dan menyenangkan.
Hal ni dapat mengurangkan kadar peratusan ‘terasa hati’ dalam diri seseorang. Namun, dalam kesantunan melakukan teguran, perlu ada ketegasan.
Ini dapat memaparkan secara terus tentang hasrat kita yang bersungguh-sungguh dalam menegurnya.Kawal emosi secara bijak supaya orang yang ditegur tidak berasa dimarahi.
Seperti mana Allah berfirman kepada Nabi Musa dalam misinya berdakwah kepada Firaun,
” Pergi kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, berbicara dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut.”
(Surah Taha, ayat 43 – 44)
3. Fokus dengan perkara yang kita hendak tegur
Apabila berniat nak berikan teguran dan nasihat, sebaiknya kita berterus terang sahaja. Elakkan berdolak dalik ketika menegur sehingga tersasar dari tujuan asalnya.
Selain itu, elakkan mengungkit tentang kesalahannya.
Sebagai contoh; Kalau rakan serumah kita masak tak sedap, tak perlulah tegur dengan kata yang buat dia terasa hati, ” semenjak kita duduk serumah, makanan awak masak tak sedap”.
Hmm, bertahun-tahun duduk tinggal bersama, baru hari ini cakap selama ini tak sedap! Dah banyak berkilo-kilo makanan yang dimakan, baru ungkit isu tak sedap?
Hish! siapa tak kecil hati bila dengar kawan berkata sedemikian. Disebabkan itu, memberi teguran straight to the point adalah cara yang tepat.
Beri teguran dan nasihat dengan lembut dengan niat untuk kebaikan bersama dan fokus kepada hal yang hendak ditegur sahaja.
4. Selitkan pujian semasa menasihati rakan
Tidak semua orang mempunyai tahap kesabaran dan keterbukaan yang sama ketika menerima teguran atau nasihat.
Ada kemungkinan yang akan berkecil hati, oleh itu ketika menasihati selitkan pujian agar nasihat dan kritikan dapat diterima.
5. Kawal emosi dan intonasi suara
ketika menasihati rakanTidak ada yang suka jika ditegur dengan nada suara yang tinggi. Ini akan menimbulkan penolakan dalam diri seseorang apabila ditegur sedemikian rupa.
Kecuali bagi mereka yang mempunyai kesabaran yang tinggi. Jangan jadikan diri sendiri sebagai indikator untuk orang lain terima teguran dan nasihat kita.
Kita tidak boleh samakan penerimaan kita dengan orang lain. Jadi, gunakanlah pendekatan yang baik dan berlemah lembut.
Buat cara ini bila rasa down dan tak seronok dengan life
6. Pilih tempat atau waktu yang sesuai untuk menasihati rakan
Gunakan cara ini agar orang yang kita tegur itu tidak berasa dimalukan atau diaibkan.
Kena ingat kita menasihati dan menegur rakan kerana kita mahu beri dia kesedaran untuk memperbaiki kesalahannya, dan bukan membuka atau mendedahkan aibnya.
Sebelum menegur, pastikan pilih waktu dan tempat yang sesuai. Elakkan memberi teguran di khalayak umum mahupun didepan keluarga sendiri. Ini akan membuatkan mereka berasamalu dan diaibkan.
Seeloknya, tegur mereka ketika mereka lagi bersendirian atau pilih ruang yang tertutup. Ini akan buat mereka lebih selesa dan mudah menerima apa yang kita nasihatkan.
Imam As-Syafie ada berpesan;
” Sesiapa yang menegur saudaranya secara sembunyi-sembunyi maka dia benar-benar telah menasihati dan menjaga aibnya. Namun, sesiapa yang menegurnya secara terang-terangan, maka sesungguhnya dia telah memalukannya dan membuka aibnya.”
7. Doakan yang terbaik untuk orang berkenaan
Bahawasanya Rasulullah ada bersabda;
” Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakan adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada malaikat yang menjadi wakil baginya, setiikali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut akan berkata ‘Aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan’. – Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda’ra ( Shahih Muslim no.2733) “
Dari itu kita diingatkan supaya sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebaikannya tanpa pengetahuannya.
Jika kita ikhlas mendoakan untuk dapatkan yang terbaik untuk rakan, InsyaAllah… Allah akan kabulkan.
Budaya saling tegur-menegur dan menasihati perlu diteruskan dalam masyarakat supaya kita dapat memperbaiki diri demi kebaikan diri sendiri.
Namun, ada baiknya jika kita gunakan kaedah menasihati rakan dengan cara yang mudah tapi berkesan.
Gunakan pendekatan secara lemah lembut dan menyenangkan tapi ada ketegasnya.
Semoga dengan cara ini, dapat mengekalkan keharmonian serta dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam persahabatan dan dirahmati Allah di dunia dan akhirat.
Selamat beramal.