Makanan Ibu Berpantang
Selepas bersalin sudah pastinya makanan ibu berpantang amat penting. Ini bagi memastikan ibu mendapat nutrisi yang cukup dan juga tenaga.
Biasanya ibu lepas bersalin akan berusaha sebaik mungkin menjaga kesihatan diri dengan cara mematuhi amalan ketika berpantang. Dan tempoh berpantang dianggap sebagai masa untuk merawat, menyucikan dan memulihkan badan selepas bersalin.
Amalan pemakanan yang baik adalah kunci utama bagi membolehkan ibu kekal bertenaga dan sihat selepas bersalin. Selain itu, rehat yang cukup juga amat penting bagi proses pemulihan ibu selepas bersalin.
Apakah ibu berpantang perlu diet?
Lazimnya, pengambilan makanan ketika berpantang banyak dipengaruhi dari kepercayaan adat dan budaya masyarakat. Dan sememangnya tidak ada diet atau makanan khusus untuk ibu yang berpantang.
Namun, tidak ada larangan bagi ibu lepas bersalin mengamalkan pantang dalam pemakanan. Tetapi kunci utamanya adalah diet yang seimbang dan makan secara sihat.
Terdapat sesetengah makanan yang dilarang diambil oleh ibu selepas bersalin. Walau demikian, makanan itu haruslah diganti dengan makanan lain dari kategori yang sama. Ini bagi memastikan ibu mendapat zat yang sama.
Sebagai contoh ikan, terdapat beberapa jenis ikan yang tidak boleh diambil ketika berpantang kerana ia dianggap boleh menyebabkan gatal. Namun, ibu berpantang boleh mengambil jenis ikan lain bagi mendapatkan sumber protien . Begitu juga dengan makanan yang lain.
Apakah makanan ibu berpantang?
Penting bagi ibu selepas bersalin memastikan makanan yang diambil ketika berpantang mengikut saranan yang terdapat dalam piramid makanan.
Ini penting kerana untuk memastikan ibu mendapat keperluan nutrien yang cukup untuk pemulihan selepas bersalin dan bagi menjayakan proses penyususan susu ibu.
1. Sumber tenaga
Nasi dan bijirin merupakan sumber karbohidrat yang akan membekalkan tenaga yang cukup kepada ibu selepas bersalin. Terutama bagi ibu yang perlu menyusukan bayi, pasti memerlukan tenaga yang lebih.
Namun ada segelintir yang berpendapat bahawa nasi merupakan musuh utama bagi mereka yang sedang diet. Walau bagaimana pun, korang boleh mengantikan nasi putih kepada nasi perang kerana ia mempunyai glisemik yang rendah berbanding nasi putih.
Contoh sumber karbohidrat yang lain adalah, bijirin, roti, barli, ubi, spaghetti dan sebagainya.
2. Sayuran dan buah-buahan
Dalam pantang larang makanan selepasa bersalin tidak digalakan pengambilan sayuran dan buah seperti kangkung, petola, terung, tembikai, pisang dan timun. Kerana makanan ini dianggap sejuk untuk ibu yang berpantang.
Namun, tiada kajian yang mengatakan bahawa jika menghindari pengambilan makanan ini akan memberi manfaat kepada kesihatan ibu semasa berpantang.
Sebaliknya, pengambilan sayuran dan buah-buahan sangat penting kerana kaya dengan sumber vitamin, mineral, fitokimia, dan serat.
Serat amat penting untuk melancarkan proses penghadaman dan dapat mencegah sembelit yang sering dialami kebanyakan ibu selepas bersalin.
Negara kita sememangnya kaya dengan pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan. Oleh itu, ibu berpantang boleh memilih sayur dan buah yang tidak dianggap sejuk bagi memastikan ibu mendapat nurtisi harian yang cukup.
Sebagai contoh, sawi, bayam, kucai, ulam, oren, betik, pisang dan lain-lain.
3. Makanan sumber protien
Ibu yang berpantang perlu mengambil makanan sumber protien yang secukupnya. Sumber protien penting untuk proses penyembuhan luka bersalin sama ada secara normal atau pembedahan. Protien berfungsi sebagai pembentukkan tisu badan yang akan membantu luka sembuh.
Disamping itu juga makanan ini mempunyai zat besi untuk pembentukan sel darah merah. Ini bagi mengantikan darah yang hilang ketika proses kelahiran dan juga dapat mencegah masalah anemia.
Jesteru itu, ibu berpantang memerlukan protien yang banyak. Pastikan dalam makanan ibu berpantang mengandungi sumber protien yang mencukupi. Hindari amalan mengambil ikan kering ketika berpantang kerana ini boleh memudaratkan kesihatan ibu.
Contoh sumber protien ikan, ayam, telur dan juga kekacang.
4. Minum air secukupnya
Selain itu juga ibu berpantang disarankan minum air secukupnya iaitu 8 hingga 6 gelas sehari. Hentikan percaya pada mitos yang mengatakan bahawa ibu berpantang perlu menghadkan pengambilan air.
Pengambilan air yang mencukupi penting untuk memulihkan kecergasan badan, keseimbangan elekrolit, mengawal suhu badan serta melancarkan sistem penghadaman.
Selain itu, pengambilan air penting untuk mengantikan air yang digunakan untuk menghasilkan susu. Seorang ibu boleh menghasilkan susu dalam anggaran 800ml atau 4 gelas susu ibu sehari.
Ini merupakan makanan ibu berpantang yang perlu diamalkan selepas bersalin bagi proses memulihkan badan serta mengekalkan ibu sentiasa sihat ketika berpantang.
Untuk ibu lepas bersalin yang nak turunkan berat badan, refer cara simple dan mudah di sini
Namun dalam masyarakat kita terdapat beberapa makanan khusus untuk ibu berpantang bagi memulihkan badan selepas bersalin. Antaranya ialah halia yang mana dianggap bersifat panas dan dipercayai boleh melancarkan aliran darah. Sama seperti dengan akar-akar kayu dan herba.
Dalam masyarakat cina pula, arak dicampurkan kedalam makanan ibu berpantang bagi bertujuan untuk memanaskan badan. Ia juga dipercayaI dapat memperbanyakkan susu badan ibu.
Pengambilan pati ikan haruan juga amat popular dikalangan masyarakat kita, ini kerana ikan haruan dipercayai mempunyai kemampuan boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka bersalin.
Secara amnya, pengambilan makanan khusus ini tak salah selagi ia tidak memudaratkan kesihatan ibu dan juga bayi. Namun, ibu perlu berhati-hati kerana pengambilan makanan khusus ini akan menyerap masuk ke dalam susu ibu.
Dan ini mungkin akan memberi kesan sampingan kepada bayi yang berusia kurang dari dua bulan berbanding dengan bayi dua bulan keatas.
Oleh itu, ibu perlu peka terhadap simptom-simptom yang berlaku pada bayi seperti juandis, tidak mahu tidur, tidak mahu menyusu dan mempunyai gangguan perut.
Sekiranya terdapat kerisauan, ibu perlu berhenti mengambil makanan ini dan dapatkan nasihat dari klinik yang berdekatan.
Dalam berpantang, ibu lepas bersalin dinasihatkan tidak mengamalkan pantang yang keterlaluan sehingga perlu menghadkan jumlah pengambilan makanan dan tidak mengambil sumber makanan yang disarankan.