Cara Lebatkan Bunga Ros Jepun Supaya Makin Merimbun Dan Membiak
Masih tak tahu cara nak lebatkan bunga ros Jepun ? jangan risau kali ini saya akan kongsikan dengan korang petua rimbunkan bunga ros Jepun.
Bunga ros Jepun ini mempunyai ramai peminat di Malaysia. Apatah lagi jenis bunga ini mudah ditanam dan dijaga. Selain itu, ia juga mempunyai bunga yang berwarna warni dan mempunyai bentuk kelopak seperti ros tetapi lebih kecil.
Nama je ros Jepun tetapi ia bukan berasal dari Jepun. Ia berasal dari Argentina, Brazil dan Uruguay. Bunga ros Jepun atau nama saintifiknya Protulaca grandiflora merupakan salah satu tanaman landskap tahan panas, sangat sesuai untuk di tanam dan tumbuh subur dengan keadaan cuaca di Malaysia.
Di Malaysia bunga ini juga dikenali sebagai bunga kembang 10 pagi kerana bunga ini hanya mekar pada jam 10 pagi. Kini tanaman hiasan ini menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai hiasan laman rumah, landskap dan sebagainya.
Tanaman hiasan ini juga dikategorikan sejenis dengan tumbuhan sekulen kerana ia akan menyerap air yang banyak ketika hujan. Hal ini boleh menyebabkan batangnya mudah terkena jangkitan dan pertumbuhan akan terbantut.
Pokok hiasan renek ini mudah ditanam dan cepat membiak. Ia juga boleh ditanam dalam pasu, ataupun ditanam secara langsung ketanah. Proses pertumbuhan hanya mengambil masa antara 2 minggu hingga 3 minggu dan seterusnya akan mula berbunga. Pokok ini tidak mempunyai musim.
Boleh di tanam dari batang yang di patahkan atau biji benih.
Nak tahu cara untuk lebatkan bunga ros Jepun? ok, jom saya akan tunjukkan caranya yang mudah dan senang.
Tips Lebatkan Bunga Ros Jepun Dengan Mudah
Secara amnya, semua tanaman perlukan penjagaan yang terbaik dengan mengekalkan persekitaran yang optimum bergantung dengan jenis tanaman tersebut. Berikut merupakan cara mudah yang boleh dilakukan untuk merimbunkan ros Jepun.
1. Lebatkan bunga ros Jepun – Gunakan baja ros Jepun
Setiap tanaman apabila dibaja dengan baik akan tumbuh merimbun dan subur, tak kiralah apa jenis tanaman pun. Terdapat pelbagai pilihan baja kimia mahupun baja organik yang terdapat dipasaran.
Baja untuk ros Jepun ini mampu menambahkan kesuburan pokok hiasan ini. Caranya adalah mudah sahaja, hanya taburkan sahaja baja kopi pada sekeliling pangkal pokok. Dan pastikan baja tersebut masih belum tercampur dengan bahan campuran lain.
Gunakan baja kopi ini seminggu sekali untuk dapatan hasil yang maksimum.
Tanam bunga juga adalah terapi untuk suri rumah yang stress dengan kerja rumah
2. Pastikan dapat cahaya matahari yang cukup
Perlu diingat bahawa ros Jepun memerlukan cahaya matahari yang mencukupi untuk tumbuh lebih subur dan juga menghasilkan bunga yang lebat.
Tidak ada guna ros Jepun dibaja jika masih belum mendapat cahaya matahari yang diperlukan secukupnya.
3. Kawal serangga perosak
Gunakan bahan semburan racun organik bagi mengawal tanaman diserang oleh serangga perosak. Biasanya, bunga ros Jepun mudah diserang oleh siput babi.
Caranya mudah sahaja kutip kesemua siput dan buang ditempat lain. Namun pastikan korang musnahkan juga telur yang ada bersama dengan siput untuk mengelakkan ia terus membiak.
Tapi jika korang seorang yang penggeli, korang boleh gunakan garam Epsom salt. Taburkan sahaja garam tersebut disekitar kawasan yang jadi tumpuan siput atau laluanya. Garam ini berkesan untuk menghapus siput termasuk siput kecil yang sukar untuk dihapus oleh racun siput.
Petua penjagaan bunga ros Jepun
Oleh sebab, ros Jepun mudah dijaga korang tidak perlu siram setiap hari, siram sekali sahaja dalam sehari. Namun jika cuaca terlalu panas, korang boleh siram 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.
Walaupun ia mudah dirawat, terdapat beberapa perkara yang korang boleh lakukan untuk mengekalkan tanaman ini setiasa subur dan sihat.
- Gunakan tanah gembur yang tidak menakung air adalah pilihan terbaik. Elakkan menggunakan tanah yang keras sehingga akar tidak dapat berkembang dan tumbuh dengan baik.
- Jangan menanam keratan batang yang terlalu banyak dalam satu pasu. 15 -20 jumlah keratan batang yang sesuai dalam satu pasu, tergantung saiz pasu.
- Alihkan pasu ros Jepun dibawah rumah yang terlindung dari air hujan. Cuaca hujan yang kerap boleh merosakkan ros Jepun.
- Asingkan ros Jepun yang terkena penyakit seperti daun menjadi keriting atau pucuk kelihatan hitam. Potong pucuk yang menjad hitam dan sembur racun organik. Sekiranya masih boleh diselamatkan, tunas baru akan tumbuh.
Bagi mereka yang gemarkan tanaman hiasan ini, korang boleh cuba tips ini untuk lebatkan bunga ros Jepun. Tanaman ini adalah salah satu tanaman landskap yang wajib korang cuba, selain mudah dirawat bunga ros jepun ini juga senang tumbuh.
Selamat bercucuk tanam !