Punca Rahim Jatuh
Punca rahim jatuh ini disebabkan oleh beberap faktor seperti kehamilan dan sering mengangkat benda yang berat.
Rahim jatuh juga dikenali sebagai peranakan jatuh atau prolaps. Biasaannya masalah ini dihidapi oleh wanita yang telah melahirkan anak ataupun wanita yang belum berkahwin, akibat daripada otot dan ligamen pada bahagian pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak dan tidak boleh menampung rahim.
Peranakan jatuh juga boleh memberi tekanan pada organ sekitarnya dan dalam kes yang teruk boleh menjejaskan kedudukan asal organ seperti pundi kencing dan usus.
Hal ini, menyebabkan ketidakselesaan kepada wanita dan ia perlu segera dirawat. Rawatan awal akan diberikan berdasarkan diagnosis yang berdasarkan simptom awal rahim jatuh
Apakah punca rahim jatuh?
Rahim seseorang wanita boleh “jatuh” akibat kelemahan otot-otot pelvik atau juga dikenali sebagai “otot lantai pelvik”.
Otot-otot ini berfungsi sebgai penyokong kepada organ rahim dan struktur sekelilingnya daripada jatuh.
Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan kelemahan struktur otot-otot ini lalu menyumbang kepada kondisi prolaps ini. Antara faktor risiko adalah:
1. Kehamilan
Ini adalah faktor yang sering menjadi kepada kelemahan otot-otot sokongan pelvis. Fenomena prolaps rahim ini sangat jarang dijumpai dalam kalangan wanita yang tidak mengandung.
Fisiologi kehamilan yang menyebabkan pembesaran saiz rahim boleh menyebabkan otot-otot ini lebih mudah ditarik dan longgar.
2. Proses bersalin secara vagina (normal)
Jika kehamilan tidak menyebabkan otot dan tisu sokongan pelvis menjadi longgar, maka proses kelahiran akan menyebabkan perkara ini terjadi. Hal ini adalah disebabkan oleh faktor interaksi hormon ketika proses bersalin bagi memudahkan seseorang wanita itu melahirkan anak mereka.
3. Faktor bayi dan instrumensi
Bagi sesetengah wanita mengandung, mereka mungkin mempunyai kandungan anak yang besar atau berat dan juga memerlukan bantuan alat khusus sewaktu proses kelahiran.
Baca juga cara atasi rengat lepas bersalin di sini
Intervensi ini beserta dengan saiz anak yang besar melalui ruang vagina yang sempit menambahkan risiko kepada kecederaan dan kelonggaran otot pelvis.
4. Faktor keturunan
Faktor ini adalah jarang berlaku dimana terdapat keadaan yang boleh menyebabkan tisu lembut menjadi lemah seperti yang dilihat pada Sindrom Ehlers-Danlos.
5. Faktor penuaan dan menopaus
Apabila usia seorang wanita meningkat, maka proses menopaus tidak akan dapat dielakkan. Hasil daripada menopaus akan mengakibatkan hormon estrogen berkurangan dan ini tidak dapat menyokong kolagen dalam tisu penghubung dan otot-otot pelvis.
6. Faktor peningkatan tekanan dalaman(intra)-abdomen
Ruang pelvis dan ruangan abdomen yang menempatkan organ seperti usus duduk saling bersebelahan. Sebarang peningkatan tekanan dalam ruangan abdomen secara berterusan akan mengakibatkan tekanan pada bahagian rahim.
Berikut adalah perkara yang boleh menyebabkan peningkatan tekanan intra-abdomen seperti obesiti, sembelit, batuk berpanjangan, selalu mengangkat benda berat dan terdapat ketumbuhan dalam usus.
7. Sejarah pembedahan pelvis
Bagi mereka yang memerlukan pembedahan sekitar pelvis seperti pembedahan pembuangan fibroid atau ketumbuhan pastinya akan diberikan amaran bahawa salah satu komplikasi daripada pembedahan adalah peranakan jatuh.
Pembedahan pada ruangan pelvis boleh menyebabkan trauma ataupun kecederaan pada otot penghubung lantai pelvis yang seterusnya boleh menyebabkan prolaps berlaku.
Kebanyakan wanita amalkan makan jamu untuk merawat rahim jatuh
Apakah simptom rahim jatuh ni?
Berikut adalah simptom-simptom yang perlu diberikan perhatian oleh setiap wanita yang mempunyai faktor risiko diatas:
- Rasa “berat” atau mempunyai “tekanan” pada bahagian kemaluan atau sekitar pelvis
- Rasa sakit ketika melakukan hubungan seksual
- Terdapat benjolan terkeluar daripada vagina atau dalam ruang vagina
- Kencing keluar dengan sendiri apabila ketawa, batuk mahupun bersin
- Perlu kencing secara kerap dan tiba-tiba
- Kencing tidak lawas
Berikut adalah peringkat berlakunya prolaps
Terdapat tiga peringkat prolaps yang perlu anda ketahui iaitu:
- Tahap Pertama – Kejatuhan struktur rahim separa ruangan vagina
- Tahap Kedua – Struktur rahim jatuh sehingga ke pembukaan vagina dan terkeluar apabila diteran.
- Tahap Ketiga – Sebahagian daripada struktur rahim boleh dilihat terkeluar dengan sendirinya daripada vagina dan ini juga dikenali sebagai tombong dalam masyarakat kita.
Itulah dia antara punca rahim jatuh dan juga simptom yang biasa dialami bagi pesakit yang mengalami prolaps. Sekiranya korang merasakan sebarang tanda yang disebutkan di atas, jangan tunggu lagi! Lakukan pemeriksaan dengan segera untuk mendapatkan rawatan awal.
Mendengarkan namanya sahaja sudah gerun apatah lagi mengalaminya! Bayangkan rasa sakit yang tak terhingga di rahim. Sudahlah datang bulan pun sakit, ditambah lagi dengan masalah rahim jatuh.
Oleh itu amalkan langkah mencegah untuk memastikan rahim sentiasa dalam keadaan normal demi kesihatan jangka masa panjang.